ADUN UMNO N.SEMBILAN tegas pendirian terhadap Menteri Besar

SEREMBAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan pendirian terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan tidak berubah.

ADUN Juasseh, Puan Sri Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, mereka menjunjung adat institusi diraja tidak timbul isu tebuk atap seperti didakwa.

“Saya bersama rakan-rakan ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan menegaskan bahawa pendirian kami terhadap kepimpinan Menteri Besar adalah jelas dan tidak berubah.

“Isu ini bukan soal perebutan jawatan. Ini bukan soal ‘tebuk atap’. Ini soal keyakinan, keabsahan kepimpinan, tertib pentadbiran, adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, UMNO tidak mencari jalan belakang dan hanya menuntut jalan yang betul.

“Apabila keyakinan terhadap Menteri Besar terhakis, penyelesaiannya bukan melalui tuduhan politik, bukan melalui spekulasi, dan bukan melalui kenyataan yang mengelirukan rakyat.

“Kami kekal menjunjung institusi Raja, menghormati adat Negeri Sembilan, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan menjaga kestabilan rakyat,” katanya.

Namun katanya, kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kepimpinan atau mengelak tanggungjawab.

“Nama baik UMNO tidak tercalar apabila UMNO bersuara atas prinsip. Nama baik UMNO hanya tercalar jika UMNO berdiam diri apabila adat, Perlembagaan Negeri dan tatakelola pentadbiran dipersoalkan.

“Sehubungan itu, saya menegaskan pendirian kami. Junjung adat. Pertahankan Perlembagaan Negeri,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seramai 12 daripada 14 ADUN Umno Negeri Sembilan didakwa menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti itu untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan di negeri terbabit.

Malah, menurut sumber, dalam satu pertemuan dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu, 12 Adun berkenaan jelas menolak untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.

Menurut sumber yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, pendirian 12 Adun berkenaan adalah bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *