Popular Posts

Dua kucing, seekor anjing mati dalam nahas van dan lori

Rembau: Dua kucing dan seekor anjing mati dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 222.7 (utara), Lebuhraya Utara- Selatan, di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan peliharaan dikatakan membawa 20 kucing dan lima anjing di dalam sebuah van yang terbabit kemalangan itu.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah van. Lori jenis Hino itu dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari Johor menghala ke Perak dan difahamkan berada di lorong kiri.

‎”Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenalpasti dari lorong tengah secara tiba-tiba masuk ke lorong kiri di hadapan lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, akibatnya lori itu mengelak ke kiri dan masuk ke lorong kecemasan lalu melanggar bahagian belakang sebuah van jenis Nissan Urvan yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Van itu dikatakan sedang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah teknikal dan menunggu bantuan pihak lebuh raya.

“Kesan pelanggaran menyebabkan van bergerak ke hadapan sebelum terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan, dua penumpang wanita berusia 33 dan 41 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan di pesakit luar Hospital Rembau,” katanya.

Azmi berkata, siasatan mendapati van berkenaan adalah daripada Persatuan Pasukan Penyelamat dan Pemuliharaan Haiwan Shikin.

“NGO ini membawa muatan 20 kucing dan lima anjing dari Melaka menuju ke sebuah pusat beli- belah di ibu negara bagi menghadiri acara ‘Oh My Pet! Expo’.

‎”Hasil pemeriksaan terhadap muatan van mendapati dua kucing dan seekor anjing mati akibat kemalangan ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *