Dipenjara 7 hari, denda RM5,000 miliki bahan porno kanak-kanak

Seremban: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 200 bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon pintar miliknya, minggu lalu.

Tertuduh, Tengku Muqriz Shah Tengku Shahdizan, 31, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM5,000 selepas membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 209 video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit miliknya, kira-kira jam 3 petang di lokasi beralamat di Jalan Merpati 2, Kampung Serting Ulu, Batu Kikir, Jempol, pada 7 April lalu.

Justeru itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, polis menahan lelaki berkenaan di lokasi dan waktu yang sama sebelum merampas telefon pintar miliknya lalu melakukan pemeriksaan.

Hasilnya, polis mendapati telefon berkenaan mengandungi 209 video pornografi kanak-kanak dan 292 video pornografi dewasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran dan pencegahan.

Tertuduh dalam rayuan berkata, dia kini tiada pendapatan kerana tidak bekerja selain memaklumkan sebelum ini bekerja sebagai ‘housekeeping’ di sebuah hotel di Johor Bharu, Johor.

Tambahnya, ini adalah kesalahan kali pertamanya dan mendakwa tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah satu kesalahan yang serius.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 7 April lalu dan jika gagal bayar denda, boleh dipenjara selama lima bulan.

Tertuduh membayar denda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *