NILAI: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental rentung dalam kejadian kebakaran di rumahnya Taman Mantin Baharu, Mantin, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kediaman yang didiami dua beradik masing-masing berusia 30-an itu hangus 100 peratus.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang tidur sendirian di rumah manakala adik lelakinya keluar kedai untuk membeli makanan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.33 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin dibantu BBP Nilai bergegas ke lokasi.

“Pasukan yang turut dibantu BBP Nilai tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dan didapati sebuah rumah teres dianggarkan berkeluasan 54 meter persegi musnah 100 peratus.
“Komander operasi lapor terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung dalam bilik utama dan disahkan meninggal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, api terkawal pada jam 11.50 malam dan kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar berkata, hasil maklumat awal yang diterima mendapati kediaman itu didiami dua beradik masing-masing berusia 30-an.

“Penduduk tidak dapat masuk untuk selamatkan mangsa dengan api yang merebak pantas ditambah keadaan rumah yang berkunci. Ketika bomba tiba, boleh dikatakan rumah sudah terbakar sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan memberikan bantuan awal bagi urusan pengebumian kepada keluarga ini dan bantuan lain akan dilihat semula berdasarkan keperluan dan keadaan keluarga itu.