

SEREMBAN : Penduduk di perumahan Precint 4, Taman Warisan Puteri di sini kini hidup dalam keadaan resah dan bimbang apabila kejadian mendapan tanah berdekatan rumah mereka berulang kembali selepas tiga tahun.
Seorang penduduk, Mohd. Amran Hamid, 64, berkata, lebih merisaukan kali ini mendapan yang berlaku di Jalan A40, Presint 4 itu lebih teruk walaupun kerja-kerja baik pulih telah dilakukan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pihak berwajib.
Menurut Mohd. Amran, kejadian mendapan tanah itu berulang sejak Oktober tahun lalu dan pada mulanya hanya sedikit sebelum mendap lebih teruk dengan jarakhanya 12 meter dari rumahnya.
“Pada mulanya, mendapan hanya kecil sahaja, tetapi lama-kelamaan semakin besar dan keadaan menjadi lebih buruk setiap kali hujan.
“Ada penduduk yang telah menghubungi MBS berhubung kejadian mendapan ini dan selepas dua hari MBS ada datang memasang kanvas di sini untuk keselamatan, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya ditemui di Presint 4 Taman Warisan Puteri di sini hari ini.
Jelas Mohd. Amran, setiap hari dia dan penduduk sekitar tidak dapat tidur lena dan amat risau terutama apabila hujan turun kerana mendapan akan menjadi lebih teruk.
“Saya risau jika tindakan lambat diambil berlaku kejadian tidak diingi sehingga mengancam nyawa penduduk.
“Malah ketiga kejadian mendapan pertama yangg berlaku tiga tahun lalu, kereta seorang penduduk yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan kerana terjerlus ke dalam mendapan,” katanya.
Mohd. Amran yang merupakan pesara dan tinggal lebih sembilan tahun di kawasan perumahan itu berkata, beliau tidak berani meletakkan kenderaan di hadapan rumah kerana risau kejadian sama berlaku, malah anak-anak terpaksa parkir agak jauh setiap kali datang ke rumahnya.
“Hari raya ini pun anak-anak saya pulang ke rumah susah nak letak kereta disebabkan jalan di hadapan rumah itu mendap,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Precinct 4, Ismail Mahat berkata, penduduk berharap tindakan pembaikan dapat dilakukan segera kerana aduan telah pun dibuat kepada MBS pada Disember lalu.
Jelas Ismail, mendapan tanah yang berlaku adalah sepanjang kira-kira 80 meter dan hanya 12 meter dengan rumah penduduk.
“Saya harap MBS dapat menyiasat kenapa mendapan ini berulang lagi sedangkan kerja-kerja pembaikan telah dilakukan dua tahun lalu melibatkan kos yang besar.
“Adakah ada aliran air di bawah jalan ini menyebabkan kejadian itu berulang atau isu lain dan saya berharap kontrak yangdilantik turun padang untuk melihat sendiri mendapan kali ini yang lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya telah pun berhubung dengan konsultan projek bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Pihak konsultan akan datang berjumpa dengan saya di MBS pada pukil 4.30 petang ini bagi mengemukakan tindakan dan cadangan pembaikan yang boleh dilakukan,” katanya.
nogoripost #mendapantanah #tamanwarisanputeri #mbs
