
KUALA LUMPUR : GWM Malaysia terus mengorak langkah agresif dalam industri automotif negara dengan merangka pelan strategik dari 2026 hingga 2028 berteraskan teknologi dan pengenalan model baharu.
Menjelang 2028, syarikat itu menyasarkan enam peratus pegangan pasaran, 60,000 jualan tahunan.
Lebih menarik, GWM Malaysia turut meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 jenama automotif di Malaysia termasuk tiga terbaik untuk jenama dari China.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, strategi tersebut bukan sekadar bersaing dari segi harga, tetapi dipacu oleh kekuatan teknologi, inovasi kejuruteraan dan pelaburan berterusan dalam produk serta rangkaian perkhidmatan.
“Fokus kami adalah membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran. Kami tampil dengan kepakaran jurutera, platform pintar, ciri keselamatan yang dipertingkat serta produk yang memberi nilai sebenar kepada pelanggan,” katanya pada Majlis Pernghargaan GWM Bersama Media di sini.
Roslan berkata, sepanjang tahun 2025, GWM Malaysia mencatatkan hampir 5,900 unit jualan meingkat 177 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan dicapai pada 2025 membuktikan keyakinan pengguna terhadap produk, kecekapam rangkaian pengedar serta sistem perkhidmatan selepas jualan yang semakin mantap.
“Dari segi produk, beberapa model baharu dijangka diperkenalkan termasuk Tank 300 HEV, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, C dan SUV mewah segmen C,” katanya.
Selain itu, Roslan berkata, syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan 60 cawangan di seluruh negara dengan memperkenalkan piawaian identiti korporat bermula tahun ini bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lebih premium dan konsisten.
“GWM Malaysia juga kekal komited terhadap pemasangan tempatan (CKD) dan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pertumbuhan serta pusat eksport utama di rantau Asean,” katanya.
habis