TIGA MODEL BAHARU BEV TOYOTA DILANCARKAN

KUALA LUMPUR : UMW Toyota Motor (UMW Toyota) melakar pencapaian penting dalam perjalanan mobiliti Malaysia dengan pelancaran tiga model baharu kenderaan bateri elektrik (BEV).

Tiga model tersebut ialah Toyota bZ4X yang dijual pada harga RM220,000, Urban Cruiser (RM198,000) dan Hilux (RM236,300).

Pengenalan model BEV itu selaras dengan pendekatan Multi-Pathway Toyota ke arah elektrifikasi dengan pelbagai teknologi digabungkan bagi menyokong peralihan ke arah neutral karbon dalam masa memastikan mobiliti kekal praktikal untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, Toyota telah menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri automotif  Malaysia melalui pelaburan berterusan, pemindahan teknologi, pembuatan dan pembangunan tenaga mahir tempatan.

“Melihat keupayaan pemasangan bateri yang dibangunkan di fasiliti Toyota di Bukit Raja, Klang adalah satu langkah positif dalam industri automotif ke arah elektrifikasi.

“Saya akan menggalakkan Toyota untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam menyokong peralihan ini. Dengan menggunakan lebih banyak alat ganti tempatan, Toyota boleh membina rantaian bekalan yang lebih kukuh selain mengelak  daripada kelewatan global,” katanya selepas merasmikan tiga model BEV Toyota di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan meningkatkan penggunaan kandungan tempatan  Toyota layak untuk menerima lebih banyak insentif kerajaan. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia sudah pun menyaksikan peralihan mobiliti rendah karbon dengan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang telah berkembang dengan ketara daripada hanya 55 unit di jalan raya pada 2020 kepada kira-kira 45,000 unit hari ini.

“Berdasarkan Total Industry Volume (TIV),  daripada sebanyak 820,752 unit pada 2025, EV menyumbang kira-kira 5.5 peratus daripada pendaftaran kenderaan baharu.

“Ini mencerminkan bagaimana Malaysia bergerak lebih awal dan penerimaan ke arah fasa pertumbuhan yang lebih mampan dalam mobiliti elektrik,” katanya.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K. berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan industri, pembuat dasar dan pelanggan bagi memastikan teknologi elektrifikasi yang diperkenalkan praktikal dan mampu milik selaras dengan keperluan mobiliti negara.

“Pelancaran tiga model BEV bukan sahaja memperkenalkan mobiliti sifar tetapi membina ekosistem EV di Malaysia secara berperingkat selaras dengan komitmen Toyota ke arah mobiliti rendah karbon,” katanya.

Toyota bz4X adalah model utama dalam barisan BEV siri bZ yang menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 73.1kWh dengan jarak gerak sehingga 525 kilometer (km).

Toyota Urban Cruiser pula sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dengan dijana bateri lithium iron phosphate (LFP) 61.1kWh dengan jarak gerak 426 km.

Seterusnya, Toyota Hiluv BEV versi elektrik sepenuhnya bagi model pikap yang dilengkapi pek bateri ion berkapasiti 59.2kWh dengan jarak gerak 315km.

#nogoripost #toyota #uwmtoyota #bev #ev #hibrid #kereta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *