20 GERAI DI PASAR BESAR SEREMBAN DILANDA BANJIR

SEREMBAN: Mesin jahit rosak dan pakaian pelanggan basah. Itu situasi dihadapi tiga gerai jahit di Pasar Besar Seremban, di sini, apabila premis mereka dimasuki air, awal pagi ini.

Tiga peniaga berkenaan antara 20 gerai yang terjejas akibat kebocoran tangki air di pasar berkenaan yang dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong berkata, kebocoran dipercayai berpunca daripada saluran paip ke tangki berkenaan yang pecah.

“Pada awal bulan lalu, terdapat aduan kebocoran paip di tangki air ini dan ia tidak serius, hanya kebocoran kecil. Jadi kontraktor yang dilantik Majlis Bandarayan Seremban (MBS) datang untuk baiki kebocoran.

“Saya difahamkan, paip yang bocor berkenaan sudah ditukar kepada jenis PVC. Mungkin tekanan air terlalu kuat menyebabkan paip berkenaan pecah awal pagi tadi.

“Ada orang awam yang sedar paip ini pecah dan laporkan kepada saya kira-kira jam 2 pagi tadi. Namun dia tidak tahu punca untuk tutup paip berkenaan menyebabkan air melimpah ke beberapa gerai,” katanya.

Jelas beliau, sekurang- kurangnya 20 gerai di tingkat satu terjejas dan tidak dapat beroperasi hari ini, manakala tiga gerai paling teruk apabila baju dan mesin jahit mereka habis basah.

“Kerja baik pulih sudah berjalan dan siap sepenuhnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi. Terima kasih kepada MBS dan kontraktor yang bertindak pantas.

“Saya juga akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada tiga gerai yang terjejas paling teruk kerana difahamkan baju tempahan pelanggan basah terkena air dan mesih jahit juga mungkin rosak.

“Saya minta mereka buat laporan polis supaya senang jika berlaku apa-apa dan mereka ada bukti sokongan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *