PAKEJ PELANCONGAN DI NISMILAN MUNGKIN NAIK HARGA

SEREMBAN: Pakej perkhidmatan pelancongan di negeri ini dijangka berdepan kenaikan harga susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai rungutan daripada pemain industri.

“Ini yang saya dapat maklumat daripada surat khabar, mereka akan menaikkan harga (pakej pelancongan) kerana kenaikan mendadak kos bahan api yang mereka tanggung.

“Mereka minta supaya kerajaan memberikan bantuan berbentuk subsidi dan rebat cukai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Travel Health and One-Stop Vaccination Service oleh Columbia Asia Hospital Seremban di sini hari ini.

Nicole bagaimanapun berkata, di Negeri Sembilan, pihaknya mempunyai satu inisiatif iaitu ‘Tourism and Culture @ Negeri Sembilan (TAC@N9) yang boleh membantu pemain industri pelancongan berdepan situasi ekonomi tidak stabil.

“Semua pemegang taruh boleh memohon untuk buat program dan kita akan bantu dengan memberikan dana penggalakkan. Itu sedikit sehanyak boleh membantu,” katanya.

Mengulas mengenai kesan konflik di Asia Barat itu kepada jumlah kehadiran pelancong, Nicole berkata, kerajaan negeri tidak menerima aduan berkaitan kesan perang di Asia Barat terhadap aktiviti pelancongan di negeri ini.

“Secara jujur saya tidak menerima apa-apa aduan daripada industri pelancongan. Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan daripada masa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri menggalakkan semua agensi pelancongan dan syarikat insurans di negeri ini supaya bersama- sama mengadakan latihan berkaitan penjagaan kesihatan ketika melancong kepada kakitangan mereka dan pelanggan.

Beliau berkata, ini kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan sebelum melakukan perjalanan masih berada pada tahap rendah.

Katanya, terdapat kes yang mana rakyat yang pergi melancong ke luar negara tiba-tiba menghadapi masalah kesihatan hingga memerlukan rawatan intensif serta perbelanjaan yang besar.

“Situasi ini dapat dicegah jika mereka mengambil vaksin tertentu dan membeli inusrans sebelum pergi ke luar negara.

“Saranan yang sama turut meliputi pelancong yang masuk ke dalam negara, ke Negeri Sembilan. Kita ada pelabur yang datang, pelajar dan sebagainya,” katanya.

Nicole memberitahu, bagi melaksanakan program latihan itu, pihak yang berkenaan boleh memanfaatkan dana dari Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang mengutip levi daripada majikan.

“Saya difahamkan tahun lalu terdapat dana sebanyak RM4 juta di HRD Corp yang tidak dimanfaatkan untuk menganjurkan latihan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *