NAHAS PEMANDU MABUK- MALAYSIA PERLUKAN SISTEM LEBIH CEKAP, BUKAN EMOSI SEMATA
SEREMBAN: Nahas jalan raya yang meragut nyawa seorang bapa dipercayai akibat pemandu mabuk di Klang, Selangor, baru-baru ini perlu diselesaikan dengan lebih sistematik antara jabatan dan agensi kerajaan.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, kajian MIROS pada 2012 mendedahkan bahawa 23 peratus pemandu yang terlibat dalam nahas maut didapati positif alkohol.
“Suatu perbezaan ketara berbanding data polis dalam lapan tahun kebelakangan ini yang menunjukkan purata peratusan kematian jalan raya melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI) adalah kurang daripada satu peratus.
“Masalahnya bukan sekadar pemandu mabuk, ia adalah mengenai sistem yang tidak tersusun. Maklumat tidak dikongsi dengan sewajarnya antara pihak hospital, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pelbagai cadangan dan mesyuarat di peringkat Kementerian Pengangkutan dibuat, namun tiada sebarang pelan terhasil.
“Sepanjang pengamatan saya, tiada pelan jangka pendek, jangka sederhana, dan jangka panjang atau langkah pencegahan keselamatan jalan raya yang khusus mengenai DUI dalam Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) mahupun Kementerian Pengangkutan.
“Sejak tiga tahun yang lalu, sebuah jawatankuasa peringkat tinggi mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Namun begitu, pelaksanaan dan hasilnya kekal mendukacitakan terutamanya dalam ruang lingkup Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya mencadangkan tiga pelan segera bagi mengatasi isu itu antaranya dengan merendahkan had kebenaran alkohol dalam badan ketika memandu.
“Kita perlu beralih kepada had alkohol global daripada 80mg kepada 50mg. Kita perlu mengikut jejak langkah ini dan menguatkuasakan had toleransi sifar (20mg) untuk pemandu baharu dan pemandu komersial.

“Kedua, jika seseorang gagal dalam ujian alat penguji nafas lesen beliau harus digantung serta-merta di lokasi kejadian,bpenggantungan secara pentadbiran sebelum kes dibawa ke mahkamah.
“Kita juga mesti menubuhkan Dana Pampasan Mangsa DUI (DVCF). Dengan memperuntukkan 30 peratus daripada semua kutipan denda DUI, ia boleh memberikan sokongan kewangan segera kepada keluarga,” katanya.
Gambar kredit pembaca