Semua kesalahan diletak atas bahu UMNO

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menemplak tindakan sesetengah pihak yang meletakkan punca berlaku isu ketidaktentuan politik dan adat di negeri ini di bahu parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustpha Nagoor berkata, pihaknya dari awal memberi peringatan bahawa krisis ini berpunca daripada kegagalan Menteri Besar mengurus dan menyelesaikan isu yang timbul secara berkesan sehingga kemuliaan dan kedudukan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta ‘Co-Roler’ diperdebatkan secara terbuka oleh semua.

“Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak cuba meletakkan sepenuhnya tanggungjawab krisis Negeri Sembilan di atas bahu UMNO. Namun hakikatnya, tuduhan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Sebelum 14 ADUN UMNO menarik sokongan pada 27 April lalu, pelbagai nasihat dan pandangan diberikan supaya tindakan segera diambil bagi mengelakkan krisis ini menjadi semakin parah. Malangnya, segala peringatan tidak diendahkan,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang 60 tahun UMNO memerintah Negeri Sembilan, tidak dinafikan berlaku juga krisis adat, namun ia tidak sebesar dan separah ini sehingga berlaku kejadian yang dilihat memalukan institusi diraja, Undang serta Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Tambahnya, engenai keputusan UMNO Negeri Sembilan untuk bersedia bertanding di semua 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, ia bukan tindakan angkuh atau mendabik dada.

“Sebaliknya, keputusan dibuat selepas Pengerusi DAP Negeri Sembilan sendiri mengumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan bahawa PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN.

“Sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO juga bersedia menawarkan pilihan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya.

Justeru, beliau memeprsoalkan bagaimana UMNO boleh dipersalahkan sepenuhnya sedangkan fakta-fakta berikut tidak boleh dinafikan?

“Menteri Besar disabdakan sebagai berbohong oleh Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin. Itu bukan dakwaan yang datang daripada UMNO.

“Menteri Besar turut dinyatakan tidak lagi layak meneruskan jawatan itu dan sewajarnya meletakkan jawatan. Kenyataan itu juga bukan dikeluarkan UMNO.

“Tuntutan mendapatkan minit Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bukan dibuat UMNO, sebaliknya oleh ahli dewan itu sendiri sehingga mereka terpaksa menggunakan saluran mahkamah untuk mendapatkan dokumen itu.

“Menteri Besar turut disabdakan sebagai memperlekehkan kedudukan Co-Ruler sebagaimana yang dinyatakan oleh Undang Yang Empat. Sekali lagi, bukan UMNO yang mengeluarkan kenyataan itu terlebih dahulu.

“Menteri Besar sendiri memaklumkan kepada media bahawa pembubaran DUN hanya akan berlaku seawal Oktober 2026 selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Namun akhirnya Menteri Besar jugalah yang mengumumkan pembubaran DUN pada 4 Jun 2026 yang berkuat kuasa pada 5 Jun 2026.

“Desakan awal supaya DUN Negeri Sembilan dibubarkan selepas pembubaran DUN Johor juga bukan datang daripada UMNO.

“Sebaliknya, Pengerusi DAP Negeri Sembilan dengan penuh angkuh menyatakan bahawa Negeri Sembilan akan turut membubarkan DUN dalam tempoh 24 jam selepas Johor. Jadi, bagaimana pula UMNO yang terus dipersalahkan,” soalnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *