Dikurung sepanjang cuti sekolah, makan dua kali sehari

SEREMBAN: Polis menahan seorang wanita berusia 46 tahun selepas disyaki mengurung anak angkat perempuannya di dalam setor sepanjang cuti sekolah yang lalu.

Malah, mangsa yang berusia sembilan tahun hanya dibenarkan keluar dari setor berkenaan sekiranya mahu ke tandas dan hanya diberi makan dua kali sehari.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, suspek ditahan di kediamannya di Taman Tuanku Jaafar, di sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

“Pada jam 7.22 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan polis berkaitan satu kes pengabaian ke atas kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

“Aduan diterima mendapati seorang kanak-kanak perempuan itu dikatakan dikurung di dalam setor yang terletak di belakang sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar Seremban, di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yatim berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan, polis mendapati mangsa adalah anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berumur setahun lapan bulan.

“Sepanjang cuti sekolah pada Mei hingga Jun lalu, mangsa dipercayai diletakkan di dalam sebuah setor yang tidak berkunci di belakang rumah dan diberikan makan sebanyak dua kali sehari.

“Mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk pergi ke tandas sahaja dan perlu kembali ke setor selepas selesai.

“Hasil siasatan juga mendapati mangsa dikatakan sering dimarahi dan dipukul suspek iaitu ibu angkatnya disebabkan hal-hal kecil seperti curi makanan di waktu malam,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak polis menyelamatkan mangsa dan menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pemeriksan kesihatan dan rawatan.

“Satu tangkapan dilakukan terhadap seorang wanita berumur 46 tahun di rumah berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tangkapan akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini untuk siasatan lanjut dan dibenarkan selama tujuh hari sehingga 14 Jun,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulfitri Abd Razak di talian 06-6033222.

Gambar hiasan janaan AI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *