IDOLA: KECHIK KENTAL BERNIAGA UNTUK UBAH NASIB

SEREMBAN : Bermula tanpa sijil dan hanya berbekalkan minat, seorang anak muda membuktikan kejayaan tidak semestinya datang melalui laluan akademik apabila berjaya membina empayar perniagaan ‘detailing’ kereta sendiri.

Nik Mohd. Shaffrizal Yusoff, 38, yang mesra disapa Kechik berkata, beliau memulakan langkah dalam dunia ‘detailing’ (cucian dan penjagaan kereta) sejak 2008 dan tidak menyangka bidang tersebut mampu menjadi sumber pendapatan utama.

Minat terhadap kekemasan kereta mendorong Kechik memilih bidang itu’ yang mana kedainya berfungsi sebagai pusat sehenti dengan menyasarkan pelanggan yang tiada masa untuk menjaga kereta.

“Kechik uruskan semua masalah kereta, daripada sekecil-kecil barang seperti nombor plat pendaftaran patah, emblem semua.

“Kechik sendiri cerewet bab itu (penjagaan kereta), biasa mereka (pelanggan) tinggal kereta dan kita selesaikan 1,001 masalah mereka,” katanya ketika ditemui di premisnya, Kechik Pro Detailng di Senawang di sini.

Jelas Kechik, beliau tidak memandang kepada jenama kereta sebaliknya masalah yang dihadapi oleh pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan meminta restorasi dan mencantikkan kereta yang mempunyai nilai sentimental tersendiri, nak jual rugi baik pakai. Bila dah buat silap-silap harga naik balik,” katanya.

Kechik yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang memberitahu detik awal perniagaannya bermula selepas beliau merantau ke Negeri Sembilan pada 2008 dan bekerja di sebuah kedai cuci kereta sebelum ditawarkan oleh majikan menguruskan perniagaan itu.

“Masa itu, saya ingat bidang ini bukan untuk saya, tapi bila saya masuk baru nampak peluang. Dalam pada masa itu saya pernah cuba buat perniagaan lain tetapi tidak berjaya dan kembali ke industri ini semula.

“Kemudian saya ditawarkan oleh salah seorang pelanggan tetap untuk membuka kedai sendiri pada 2014 berbekalkan modal dengan melakukan potongan gaji selama dua tahun,” katanya.

Bercerita lanjut, Kechik berkata, tanpa latihan formal, beliau belajar secara sendiri dengan memerhati teknik orang lain sebelum mempraktikannya.

Usaha itu, membawa beliau mengembara ke pelbagai negeri termasuk Terengganu bagi menimba ilmu berkaitan ‘coating’ dan penjagaan kenderaan.

Mengimbau semula, Kechik berkata, perjalanan beliau bukanlah mudah dan faktor terbesar beliau berusaha kerana memikirkan tanggungjawab sebagai suami serta bapa selepas berkahwin muda pada usia 19 tahun.

Beliau turut melalui fasa kejatuhan apabila perniagaan merosot dan kehilangan pekerja dalam satu masa yang memberi tekanan hebat sehingga pernah berada dalam situasi kewangan yang sangat sukar.

“Anak saya yang sulung pernah hanya minum air sirap, jadi itulah salah satu ‘big why’ kenapa saya perlu fight (berusaha),” katanya yang mempunyai tiga anak berusia 17, 8, dan 5 tahun.

Beliau berkata, pengalaman tersebut menjadi titik perubahan dalam hidupnya, dalam masa sama beliau mula dekat pada Allah.

“Saya pernah diuji jatuh berkali-kali sangat teruk dan saya menyalahkan sana dan sini.

“Akhirnya saya cari Allah, selama ini saya usaha susun strategi kiri kanan, tapi mungkin kesalahan saya membelakangkan Allah yang maha pemberi rezeki, maha kaya,” katanya.

@nogoripost

IDOLA NOGORI – KCK PRO Jom kita selami usaha usahawan kita… @KCKPR0

♬ original sound – Nogori Post – Nogori Post

Kini, Kechik melihat bidang ‘detailing’ sebagai satu industri yang luas dan berpotensi tinggi, selain merancang menubuhkan akademi khas untuk pelajar menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang tersebut.

Kisah Kechik membuktikan bahawa dengan usaha, kesabaran dan keazaman, seseorang itu mampu bangkit daripada kekurangan dan mencipta kejayaan sendiri. -NogoriPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *