Popular Posts

Hanya curi rim standard

KUALA PILAH: Dua pemilik kenderaan yang diletakkan di kawasan luar pagar sebuah kolej jururawat di daerah ini terkejut apabila keempat-empat roda kereta mereka dilarikan.

Difahamkan, dalam kejadian pada 15 dan 18 Mei lalu, suspek dikatakan hanya menyasarkan kereta dengan rim standard untuk dilarikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya sedang giat melakukan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kes itu.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa kejadian kecurian komponen kenderaan membabitkan kereta yang diparkir di luar kawasan Kolej Jururawat Kuala Pilah, di sini.

“Pada 18 Mei lalu, pihak polis menerima  laporan berhubung kehilangan rim beserta tayar membabitkan dua kereta yang diparkir di kawasan parkir luar kolej berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, kawasan itu didapati gelap dan sunyi pada waktu malam kerana tiada lampu jalan serta tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Salah satu laporan yang dibuat membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza. 

“Mangsa mendapati keempat-empat roda hilang kira-kira jam 7 pagi 18 Mei lalu selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Siasatan turut mendapati sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia SE yang diparkir di lokasi sama turut mengalami kehilangan keempat- empat tayar beserta rim.

“Pemilik kenderaan ini memaklumkan kenderaan diletakkan dalam keadaan berkunci dan baik kira-kira jam 7.45 malam 15 Mei lalu sebelum mendapati tayar keretanya hilang pada 18 Mei,” katanya.

Muhamad Mustafah berkata, tempat kejadian sudah dilawati pihak polis dan gambar lokasi sudah diambil selain rajah kasar dilakar bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, penimbulan cap jari tidak dapat dilakukan berikutan keadaan permukaan sekitar kenderaan yang basah akibat hujan,” katanya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen  379A(1) Kanun Keseksaan.

“Anggaran kerugian yang dialami kedua-dua mangsa adalah sekitar RM2,000. Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit.

“Orangramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah atau Pegawai Penyiasat Sarjan Shamsuldalila Mohammad di talian 011-10129038,” katanya.

Terdahulu seorang pemilik akaun di aplikasi Thread memuatnaik video menunjukkan keretanya dan sebuah lagi kereta dalam keadaan tiada keempat-empat roda.

Di ruangan komen mendapati suspek hanya menyasarkan kereta yang menggunakan rim standard kereta jenis Perodua sahaja.

Video kredit pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *