MASJID NEGERI DINAIK TARAF RM20.17 JUTA.

SEREMBAN : Masjid Negeri, Negeri Sembilan ditutup sementara dan diperuntukkan sejumlah RM20.17 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf menyeluruh selama 18 bulan bermula 09 Mei 2026.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, berkata projek berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira keadaan fizikal masjid yang semakin uzur dan berusia hampir enam dekad yang beroperasi sejak dirasmikan pada 24 November 1967 oleh Almarhum Tuanku Ja’afar Al-Haj Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Katanya lagi, projek naik taraf itu dijadualkan akan siap pada 15 November 2027 dengan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan jemaah, kecekapan penggunaan ruang serta kemudahan mesra pengguna.

“Sepanjang tempoh penutupan sementara, semua aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, solat Jumaat, kuliah pengajian, halaqah al-Quran dan urusan perkahwinan akan dipindahkan ke Kompleks as-Sa‘adah, Rahang.

“Bagi memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat, tiga lokasi alternatif turut disediakan iaitu di Ballroom Menara MAINS Aras 4, Surau Taman Permai 2 Seremban dan Surau Kampung Pondok Rasah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, memaklumkan keputusan penutupan sementara Masjid Negeri serta kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi alternatif dibuat Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Beliau berkata, ia telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berdasarkan Seksyen 47 enakmen sama.

“Kebenaran penutupan sementara Masjid Negeri berkuat kuasa 9 Mei 2026 bersamaan 21 Zulkaedah 1447 Hijrah, manakala kebenaran mendirikan solat Jumaat sementara di lokasi terlibat bermula pada 15 Mei 2026 bersamaan 27 Zulkaedah 1447 Hijrah.

“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di lokasi-lokasi berkenaan adalah bersifat sementara sehingga surat pembatalan dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

“Solat Jumaat juga hendaklah didirikan secara berterusan dengan sekurang-kurangnya 40 ahli Jumaat selain jawatankuasa surau terlibat perlu mematuhi arahan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Selain itu, Faudzinaim menjelaskan, ahli kariah di bawah Masjid Negeri Negeri Sembilan turut dibenarkan menunaikan solat Jumaat di mana-mana lokasi alternatif yang telah ditetapkan sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *