Dua superman bermalam di lokap

SEREMBAN: Padah melakukan aksi ala ‘superman’ dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, di daerah ini, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan di Lebuhraya Kajang– Seremban (LEKAS) dan Jalan Rasah itu menyaksikan sebanyak 50 saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi itu dilaksanakan dengan kekuatan dua pegawai dan lapan anggota ekoran aduan awam dan hasil risikan pihak polis.

“Dalam operasi ini, polis mengeluarkan 50 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan ubah suai ekzos.

“Sebanyak 23 motosikal diperiksa manakala lima motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘superman’ dengan meniarap di atas motosikal dengan kepala rapat ke hendal dan kaki diluruskan ke belakang.

“Aksi ini dikesan pada jam 1.25 pagi di Lebuhraya LEKAS dan boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya lain.

“Kedua-dua suspek bersama motosikal Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR kini ditahan di Lokap Balai Polis Seremban 2 untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mahkamah membenarkan perintah reman selama dua hari bermula hari ini terhadap suspek yang ditangkap ini,” katanya.

FOTO IHSAN POLIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *