1
1
SEREMBAN : Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki bagi mendapatkan pingat kebesaran Negeri Sembilan membawa gelaran ‘Datuk’ dengan bayaran RM64,500, tahun lalu.
Tertuduh, Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya telah menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM64,500.
Bayaran itu untuk menguruskan bagi mendapatkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-78 Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Oleh itu, tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tersebut yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Nuri Indah, Seremban di sini di antara 30 Mac hingga 6 Disember 2025.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Chrysandy Lai menyebut bagi pihak Tetuan Rivera, Rosli & Co yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan menjaga ibunya selain bapanya baharu meninggal dunia.
Chrysandy berkata, mangsa dalam kes tersebut adalah kenalan ahli keluarga, difahamkan berlaku salah faham dan kes itu akan diselesaikan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Jun depan bagi serahan dokumen.