Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan (JPNNS) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sijil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang pelajar ditahan.
Dalam video yang tular sejak semalam mendakwa seorang pelajar tidak dibenarkan mengambil sijilnya walaupun mendapat keputusan cemerlang kerana mempunyai tunggakan yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).
Pengarah JPNNS, Khalidah Omar berkata, secara dasarnya pihak sekolah tidak dibenarkan melakukan hal demikian atas alasan sumbangan PIBG.

“JPNNS mengambil maklum berhubung kandungan tular di platform TikTok berkaitan dakwaan penahanan sijil seorang pelajar.
“JPNNS memandang serius perkara ini dan sudah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh.
“JPNNS menegaskan bahawa pihak sekolah tidak dibenarkan menahan sijil atau dokumen rasmi murid atas alasan kegagalan membuat sumbangan PIBG,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Beliau berkata, sumbangan PIBG adalah sukarela dan tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang urusan membabitkan murid.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan.
“JPNNS akan terus memperkukuh aspek pemantauan dan memberi peringatan kepada semua pentadbir sekolah supaya sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan.
“Ia bagi memastikan kebajikan dan kepentingan murid sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan murid,” katanya.
Terdahulu, pelajar di sebuah sekolah senawang dikatakan tidak dibenarkan mengambil sijil serta insentif pelajar cemerlang kerana mempunyai tunggakan yuran PIBG.
Menerusi tular di laman sosial itu, pelajar berkenaan mendapat keputusan cemerlang 9A dan menghadiri majlis anugerah sekolah itu, namun hanya diberikan sampul kosong.
Difahamkan, pelajar itu dari keluarga yang kurang berkemampuan dan mempunyai tunggakan sejak dari tingkatan satu.
Gambar hiasan