SEREMBAN: Isu sijil pelajar SPM yang ditahan kerana mempunyai tunggakan yuran PIBG turut mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, dia sudah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Shahir Mohd Shah untuk turun ke SMK Senawang bagi mendapatkan penjelasan isu yang tular, kelmarin.
“Isu yang timbul daripada video tular dengan beberapa tuduhan yang tidak tepat kepada pihak sekolah dan PIBG selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar yang dilihat terdapat sedikit salah faham dan maklumat antara pelajar dan pihak sekolah serta PIBG.
“Perkara ini seharusnya diselesaikan antara pihak ibu bapa dan sekolah tanpa melibatkan orang luar sehingga dijadikan bahan untuk diviralkan,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Jelas beliau, perkara sebegini tidak perlu dijadikan bahan tular kerana ia bukan sahaja memberikan gambaran negatif kepada pelajar, bahkan institusi pendidikan dan organisasi PIBG itu sendiri.
“Saya difahamkan, pelajar tersebut tidak pernah dipinggirkan atau dikecualikan daripada sebarang program kecemerlangan akademik yang dianjurkan pihak sekolah.
“Bahkan pelajar tersebut mempunyai rekod yang baik di sekolah. Soal komitmen ibu bapa, itu biarlah pihak sekolah berhubung dengan mereka.

“Saya yakin pihak sekolah sentiasa membantu pelajar untum memastikan masa depan mereka cemerlang,” katanya.
Justeru Aminuddin meminta agar semua pihak yang telah memberikan respon negatif kepada guru, pengetua dan PIBG SMK Senawang untuk menilai semula isu ini dengan lebih bertimbang rasa.
“Tidak ada sekolah yang sanggup melihat anak muridnya gagal. Tiada faedah pihak sekolah menyekat sijil anak-anak. Rekod cemerlang SPM 2025 SMK Senawang telah membuktikan pihak sekolah, PIBG dan ibu bapa telah bertungkus lumus menaikkan prestasi anak-anak di situ,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada 2025, 14 pelajar sekolah itu telah mendapat semua A berbanding dua pelajar pada 2024.
“Lebih membanggakan, tahap disiplin anak-anak SMK Senawang menunjukkan tahap yang ebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
“Hanya orang Senawang sahaja kenal situasi sosial di sana. Hakikatnya, Pentadbiran SMK Senawang punyai ihsan yang tinggi dalam mendidik anak-anak murid di situ. Hanya Jawhari mengenal manikam,” katanya.

Tegas beliau, pihaknya berharap isu ini dapat diselesaikan secara harmoni oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
“Jadikan ia sebagai pengalaman selepas ini dalam kita memastikan usaha mendidik anak-anak di sekolah sebagai tanggungjawab bersama.
“Saya doakan anak tersebut akan dapat melanjutkan pelajaran di universiti dan kembali berkhidmat di Negeri Sembilan. Kita perlukan anak-anak yang cemerlang untuk membangun negeri ini,” katanya.