1
1
NILAI – Seorang wanita warga asing yang bertindak menyembunyikan kelahiran bayi kembarnya terbongkar selepas mengalami pendarahan serta komplikasi kesihatan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihak polis telah menerima satu laporan berhubung kejadian kematian seorang bayi yang dipercayai berlaku selepas kelahiran pada pukul 9.53 pagi di sebuah rumah di kawasan Labu di sini semalam.
“Laporan tersebut dibuat oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas menerima seorang pesakit wanita warga asing berusia lingkungan 30-an yang mendapatkan rawatan.
“Hasil maklumat awal yang diperoleh, wanita tersebut dipercayai telah melahirkan anak kembar di rumah tanpa bantuan perubatan,” katanya.
Johari berkata, salah seorang bayi dilaporkan telah meninggal dunia selepas dilahirkan sebelum mayat bayi tersebut ditanam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis dengan kerjasama Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan seterusnya menggali semula mayat bayi tersebut untuk tujuan siasatan lanjut.
“Mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat untuk menentukan punca kematian,” katanya.
Jelas Johari, dalam perkembangan berkaitan, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat,” katanya.
Tambah beliau, sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran.