SEREMBAN: Semua institusi pendidikan
di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) kembali ditutup esok ekoran situasi jerebu semasa.
JPNS berkata, sepanjang tempoh penutupan, semua murid dan pelajar termasuk yang berada di asrama akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Calon-calon diminta merujuk makluman dan arahan lanjut yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi JPNS berkaitan pelaksanaan pentaksiran dan peperiksaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
JPNS berkata, guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula dibenarkan melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh tersebut.