TAMPIN: Sebutir bom lama ditemui seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di tepi Sungai Chemangkoh, Gemencheh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, Balai Polis Gemencheh telah menerima laporan daripada seorang pengadu berhubung penemuan objek yang disyaki bom itu kira-kira jam 9 malam.
“Susulan laporan tersebut, pihak polis telah ke lokasi kejadian dan mengesahkan ada sebutir objek dipercayai bom lama di lokasi tersebut.
“Kawalan keselamatan terus dibuat untuk mengelakan sebarang kejadian tidak dingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amiruddien berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan objek berkenaan merupakan sebutir UXO atau bom lama jenis mortar 60mm dengan ukuran panjang kira-kira 30 sentimeter.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar juga tidak menemukan sebarang ancaman lain yang mencurigakan.”Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) telah menjalankan tindakan pemusnahan secara in-situ mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan pada jam 11 pagi tadi.
“Operasi tersebut berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda,” katanya.
Tegas beliau, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mengalih atau cuba memeriksa sendiri sebarang objek mencurigakan.
“Orang ramai hendaklah segera menjauhi kawasan berkenaan dan melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan keselamatan diambil,” katanya.
Gambar ihsan polis