Seremban: Semua institusi pendidikan lslam di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diarahkan tutup bermula esok susulan situasi jerebu ketika ini.
JHEAINS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung
keselamatan dan kesihatan murid susulan situasi berkenaan.
“Semua institusi pendidikan lslam di bawah seliaan dan kawal selia JHEAINS yang berada di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat.
“Arahan ini membabitkan Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Swasta, Maahad Tahfiz, institusi pengajian pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas AI-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Kelas Agama Petang (KAP) di premis Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas kenyataan itu lagi, semua institusi pendidikan Islam yang terjejas hendaklah melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PPDR) melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru bagi memastikan kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Bagi murid institusi tahfiz dan pondok yang memilih untuk tidak pulang dan terus menetap di asrama, pihak pengurusan institusi hendaklah memastikan langkah-langkah keselamatan dan penjagaan kesihatan dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Langkah itu termasuk mengehadkan aktiviti luar bangunan, memastikan pemakaian pelitup muka dan pengambilan air minuman yang mencukupi serta memantau tahap kesihatan dan kebajikan murid,” katanya.
Jelasnya lagi, semua pentadbir institusi pendidikan Islam hendaklah memastikan pelaksanaan arahan ini berjalan dengan teratur serta memberikan pemakluman yang jelas kepada ibu bapa dan penjaga.
“Pihak pengurusan institusi juga hendaklah sentiasa peka terhadap perkembangan
semasa keadaan jerebu dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarya dan
bertanggungjawab atas keselamatan dan kesihatan murid.
“Guru Sekolah Menengah Agama Negeri dan Guru KAFA lantikan JHEAINS dibenarkan
untuk Bekerja Dari Rumah (BDR),” katanya.
Tegasnya, JHEAINS akan terus memantau perkembangan kualiti udara berdasarkan laporan dan nasihat pihak berkuasa berkaitan.
“Sebarang keputusan berhubung penyambungan semula operasi fizikal institusi pendidikan Islam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi jabatan.
“JHEAINS menyeru semua pihak supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi arahan dan langkah keselamatan yang ditetapkan. Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga institusi pendidikan Islam sentiasa menjadi keutamaan jabatan,” katanya.
Gambar hiasan janaan AI