SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus menerajui pentadbiran negeri meskipun terdapat gesaan supaya beliau meletakkan jawatan.
Ismail berkata, segala cabaran yang berlaku ketika ini akan dihadapi sebaik mungkin dengan tumpuan diberikan kepada kepentingan rakyat dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
“Siapa dia (pembangkang) nak suruh saya letak jawatan? Tak perlu pun.
“Seperti dalam ucapan saya tadi, saya akan teruskan (tanggungjawab) dibantu jentera kerajaan dan YB-YB untuk kita pastikan keperluan rakyat dipenuhi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan Penggal 2026–2028.
Beliau mengulas gesaan sesetengah pihak termasuk pembangkang supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar susulan dakwaan kegagalan menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya sebelum itu, Ismail berkata, apa juga cabaran kepimpinan yang sedang dihadapi akan ditangani dengan sebaik-baiknya.
Menurut beliau, rakyat Negeri Sembilan diharap terus yakin dan kekal tenang kerana kerajaan negeri tidak akan membenarkan kemelut yang berlaku mengganggu kehidupan mereka.
“Kerajaan mesti terus bekerja, pembangunan mesti terus berjalan dan rakyat mesti terus dibela,” katanya.
ADUN Juasseh itu turut memohon doa daripada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar segala cabaran yang sedang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.
“Ia demi kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya. Saya juga memohon sokongan semua pihak agar kita dapat bersama-sama melalui tempoh ini dengan penuh kebijaksanaan dan semangat kebersamaan,” katanya.
Tambah beliau, kekuatan Negeri Sembilan terletak pada kesatuan semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin masyarakat, JPKK dan seluruh rakyat.
“Kerajaan, pemimpin masyarakat, JPKK dan seluruh rakyat mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan negeri ini kekal stabil, maju dan makmur,” katanya.