Seremban: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan mengesyaki ada pemilik tanah atau kebun yang mengambil kesempatan membakar belukar atau lalang pada musim panas ketika ini.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Nor Ariffin Kamari berkata, pihaknya mengesan kes kebakaran di negeri itu yang sengaja dicetuskan sebagai jalan mudah untuk membersihkan kebun atau ladang.
Nor Ariffin berkata, berdasarkan statistik jumlah keseluruhan panggilan kebakaran terbuka sejak Januari hingga 1 April lalu adalah sebanyak 857 kes dengan kebakaran lalang mencatatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 547 kes.

“Kebakaran sampah (63 kes), kebakaran kebun/ lalang (19), kebakaran hutan (14) dan kebakaran lain- lain (214).
“Manakala jumlah keseluruhan panggilan kebakaran terbuka bagi tempoh sama pada 2025 adalah sebanyak 337 kes. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 44 peratus,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Jelas beliau, dalam satu operasi yang dihadiri pasukan bomba di sebuah kebun sawit di Port Dickson, pihaknya mengambil masa selama tiga hari untuk dipadamkan.
“Apabila bomba hadir, kebakaran ini membabitkan tompokan rambang, corak api agak pelik. Biasa kita tengok kebakaran di satu arah, tetapi kes ini bertompok.
“Ada yang ambil kesempatan bersihkan ladang atau kebun dengan bakar belukar. Kami sudah serahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang mahu melakukan pembakaran terbuka perlu mendapat kebenaran daripada JAS dengan pemantauan pihak berkuasa.
“Kami menyeru kepada masyarakat di luar sana supaya dapat membantu bomba dengan tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan impak kepada alam sekitar supaya dapat sama-sama jaga kesihatan.
“Orang awam boleh keluar rumah dengan selesa dan menjalankan aktiviti harian. Syukur kerana di Negeri Sembilan cuaca mulai hujan sejak beberapa hari ini,” katanya.