SEREMBAN : Kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kekal sah, tegas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Setiausaha DKU berkata, Raja Norazli berkata, tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan Yang di-Pertuan Besar itu dipegang secara sah.
“Dewan menegaskan semula bahawa DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan.
“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut DKU, pendirian itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan ketetapan Dewan.
Katanya, DKU turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bertarikh 15 September lalu yang menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Kesahan serta kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman,” katanya.
Menurut DKU, berdasarkan Perkara XVI UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasa DKU.
Jelasnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi berkenaan atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Dalam perkembangan sama, DKU menegaskan dokumen bertajuk ‘Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026’ bertarikh 16 September lalu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang setakat mana ia bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu dan mengarahkan pelaksanaannya serta-merta.
“Dokumen tersebut menyentuh perkara yang berada di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
DKU turut menegaskan semula pendiriannya bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal dan terbatal.
Antara alasan yang dinyatakan ialah tiada siasatan menurut Perkara X (1) UUTKNS 1959 dilaksanakan dan tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi tersebut didakwa tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.
DKU turut mendakwa fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal berikutan keengganan Menteri Besar ketika itu untuk menandatanganinya.
“MMK tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.
Mengenai proklamasi pemilihan Yang di-Pertuan Besar baharu di bawah Perkara XI UUTKNS 1959, DKU berkata, sebarang proklamasi yang bersandar pada asas sama turut tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Dalam pada itu, DKU memaklumkan perkara berkenaan kini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.
Sehubungan itu, semua pihak diseru menghormati proses mahkamah serta menahan diri daripada mengambil sebarang langkah yang boleh memintas atau mengganggu proses berkenaan.
“Institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu, tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris.
“Dewan menyeru semua pihak supaya menjunjung UUTKNS 1959, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan, serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah,” katanya.