NILAI: Sebuah kereta yang mengalami kerosakan di Kilometer (Km) 284.4 Lebuhraya Utara- Selatan, arah utara, di sini, dirempuh lori menyebabkan pemandunya maut, pagi tadi.
Malah kejadian kira-kira jam 9 pagi itu turut menyebabkan seorang penumpang kereta parah manakala penunggang motosikal yang mahu membantu mengalihkan kereta juga parah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Perak.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, Perodua Axia itu dikatakan mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kedua dari kiri.
“Kemudian, seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150 sampai di lokasi dan cuba memberi pertolongan kepada wanita itu untuk mengalihkan kenderaan.
“Bagaimanapun, sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun sampai di lokasi dan dikatakan tidak perasaan kedua-dua kereta dan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Johari, lori berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Axia dan penunggang motosikal yang sedang memberikan bantuan.
Johari berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Manakala penumpang Perodua Axia iaitu seorang wanita berusia 39 tahun serta penunggang motosikal turut parah. Mereka menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar, di sini,” katanya.
Siasatan kemalangan masih diteruskan dan diklasifikasikan mengikut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar ihsan polis