SEREMBAN: Pasar Malam Senawang Perdana, di sini, bertukar wajah apabila dipenuhi dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia, petang semalam.
Buat julung kalinya, pasar malam di negeri ini menganjurkan sambutan Hari Malaysia dengan mengadakan Pertandingan Khemah Niaga Berhias anjuran Sahabat Usahaniaga Negeri Sembilan (SUNS).
Wartawan yang ke lokasi mendapati pelbagai gerai dihias dengan bendera dan beberapa perhiasan lain mengikut kreativiti masing-masing termasuk ada yang membina Menara Berkembar KLCC daripada bahan terbuang.

Peniaga ‘desert’ dan air coklat yang mendapat tempat pertama bagi pertandingan hiasan gerai, Khadijah Roslan, 59, berkata, dia sudah membuat persediaan sejak lebih sebulan lalu.
“Tetapi apabila pihak penganjur mengumumkan akan mengadakan pertandingan ini, saya rasa teruja untuk menghias gerai saya. Lagi pun ia hanya diraikan setahun sekali sahaja.
“Saya pada mulanya sangkakan pertandingan ini diadakan pada 31 Ogos lalu, tetapi rupanya pada hari Malaysia. Memang sudah lama saya bersiap sedia,” katanya ketika ditemubual.

Khadijah yang turut mendapat hadiah bagi kategori pakaian terbaik berkata, dia tidak mengeluarkan banyak modal untuk menghias gerainya kerana menggunakan bahan sedia ada di rumah.
“Contohnya kain batik, bakul kayu dan payung kecil ini memang ada di rumah, cuma memerlukan hasil tangan dan idea kreatif untuk hias gerai.
“Saya hanya keluarkan modal untuk beli bendera gantung. Selain itu saya beli bendera kecil yang dicucuk pada setiap potong kek yang dijual,” katanya.

Pengerusi SUNS, Junaidi Jamal, 51, berkata, sejak terbabit dalam dunia pasar malam kira-kira 25 tahun lalu, dia tidak pernah menyaksikan mana-mana pasar malam di Negeri Sembilan terutamanya di Seremban yang mengadakan sambutan Hari Malaysia.
“Pada dasarnya kami mahu anjurkan Hari Malaysia bagi menyemai rasa patriotik dalam kalangan peniaga. Sebahagian besar daripada kami memang meniaga sejak dari muda dan mungkin kali terakhir sambutnya ketika di zaman sekolah.
“Jadi untuk galakkan mereka hias gerai masing-masing, kami adakan pertandingan hias gerai dan pakaian terbaik. Pemenang tempat pertama hingga ketiga dan saguhati akan menerima hadiah.
“Ini kali pertama pertandingan ini diadakan selepas tiga tahun SUNS menganjurkan pasar malam ini, jadi saya dapati sambutan daripada peniaga sangat menggalakkan meskipun mereka sibuk meniaga,” katanya.
