Syarikat didenda RM20,000 guna pelekat logo SIRIM palsu pada tayar celup

SEREMBAN : Sebuah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 80 unit tayar celup.

Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Cerico Retreat Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Khoo Chai Kee, 66, selaku Orang Kena Saman (OKS).

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 30 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didapati membuat representasi palsu dalam urusan perdagangan dengan mendakwa 80 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz yang mempunyai pelekat SIRIM MS 224:2005 merupakan tayar celup yang diluluskan SIRIM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di Taman Perindustrian Bukit Palong, Lukut, di sini pada 13 Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Seksyen 16(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21(a).

Bagi suatu pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan itu, ia boleh didenda tidak melebihi RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazmida Harris Lee, manakala OKS diwakili peguam, N. Raswanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *