17 ADUN PH, dua penyelaras DUN diminta pulangkan peruntukan

Kredit Foto : Facebook Dato’ Ismail bin Lasim

SEREMBAN : Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) serta dua penyelaras DUN diminta memulangkan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, arahan itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini susulan isu berkenaan dibangkitkan dalam sidang khas DUN.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM180,000 kepada ADUN-ADUN PH itu diluluskan menerusi MMK pada 3 Jun iaitu dua hari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

“Pada 4 Jun 2026, iaitu sehari sebelum pembubaran DUN, sejumlah peruntukan telah disalurkan ke akaun 17 ADUN terbabit serta dua penyelaras DUN iaitu Labu dan Paroi.

“Jadi, keputusan telah dibuat supaya peruntukan yang diterima bagi tempoh selepas pembubaran DUN itu dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Menurut Ismail, daripada 17 ADUN terbabit, tujuh merupakan anggota Exco manakala 10 lagi adalah ADUN biasa.

Jelas beliau, tujuh Exco berkenaan perlu memulangkan RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, manakala setiap ADUN biasa perlu memulangkan RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September.

“Dua penyelaras DUN pula perlu memulangkan RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.

“Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan dalam masa terdekat dan mereka diberikan tempoh 30 hari dari tarikh surat berkenaan untuk membuat pemulangan,” katanya.

Isu berhubung peruntukan tersebut sebelum ini menjadi perhatian selepas tular surat kelulusan sumbangan kewangan bagi kesejahteraan rakyat berjumlah RM180,000 kepada ADUN PH untuk tempoh Julai hingga September.

Surat berkenaan bertarikh 4 Jun, sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *