Ustaz Lah didakwa pecah amanah dana NGO, pindah wang haram RM15.4 juta

SEREMBAN – Pendakwah bebas dan pempengaruh agama, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 51 pertuduhan membabitkan pecah amanah dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemindahan wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan kira-kira RM15.4 juta.

Abdullah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut 34 pertuduhan, tertuduh sebagai ejen dan Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM), didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana pertubuhan itu berjumlah RM13,847,535.89.

Dia didakwa meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank termasuk akaun miliknya sendiri tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Biz Avenue, Seremban 2, di sini antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi 17 pertuduhan lain, Abdullah didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank termasuk akaun miliknya ke akaun beberapa syarikat lain bagi tujuan pembayaran pembelian emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia yang bukan ahli keluarga tertuduh serta beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abdullah memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Beliau memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai 11 anak berusia antara empat hingga 15 tahun selain merupakan pemilik restoran dan pempengaruh dengan pendapatan tidak menentu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berusia lebih 21 tahun.

Daripada jumlah itu, RM400,000 adalah jaminan bercagar manakala RM300,000 tidak bercagar.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Dalam prosiding sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah dana PRIM berjumlah RM13,847,535.89.

Noor Sahira mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim sama.

Dia didakwa membantu Abdullah membuat pemindahan wang secara perbankan dalam talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta beberapa syarat tambahan.

Peguam Azrul dalam rayuannya memaklumkan Noor Sahira sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan selain perlu menanggung ibu bapanya yang tidak sihat.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun serta syarat tambahan sama seperti Abdullah.

Kes kedua-dua tertuduh ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 September depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *