Masjid Sri Sendayan dinobat ‘Global Outstanding Mosque of the Year’

SEREMBAN: Masjid Sri Sendayan di sini menerima pengiktirafan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year’ pada Anugerah Perdagangan dan Pelancongan Islamik Dunia (WITA) 2026 semalam.

WITA dianjurkan bagi mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pelancongan Islam dan mesra Muslim.

Jurucakap WITA berkata, Masjid Sri Sendayan dilihat berfungsi lebih daripada sekadar rumah ibadah malah aktif memainkan peranannya sebagai simbol keharmonian, ihsan dan kerohanian.

“Masjid tersebut sentiasa mengalu-alukan pengunjung domestik mahupun luar negara.

“Ia contoh dalam pengurusan masjid moden cemerlang yang kukuh menabur khidmat kepada komuniti, menyuburkan ilmu serta menampilkan keindahan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap WITA berkata, Masjid Sri Sendayan dilihat bukan sahaja menawarkan keindahan seni bina Islam, malah menjadi ruang buat pengunjung asing mengenali nilai Islam dalam konteks Malaysia kontemporari.

Anugerah ‘Global Outstanding Mosque of the Year’ tersebut diterima Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Masjid Sri Sendayan yang mula dibuka pada tahun 2019 di tapak seluas lebih empat hektar dibina dengan reka bentuk diinspirasikan seni bina era Abbasiyah yang diperkaya elemen Mamluk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *