SEREMBAN : Seramai 51 saksi akan dipanggil bagi membantu prosiding inkues untuk menentukan punca kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di Senawang, di sini pada 2 Oktober tahun lalu.
Pegawai Pengendali Inkues, Norazihah Asmuni berkata, saksi yang akan dipanggil termasuk guru, pelajar serta rakan kepada mangsa, Iman Zhafran Abdullah.
Koroner, Tasnim Abu Bakar menetapkan tujuh hari bagi prosiding inkues berkenaan yang akan berlangsung pada 14 dan 21 September, 5, 6 dan 7 Oktober serta 21 dan 28 Oktober.
Setiap sesi prosiding ditetapkan bermula pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Turut hadir ke mahkamah hari ini ialah bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibu mangsa, Zuzita Murib Sagita.
Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Yazid Mohamad Salim memohon kebenaran mahkamah untuk pihaknya serta ibu bapa mangsa membuat pemeriksaan terhadap saksi yang dipanggil sepanjang prosiding inkues.
Beliau turut memohon budi bicara mahkamah bagi membenarkan penzahiran dokumen berkaitan dengan memberikan satu salinan dokumen kepada pihak peguam dan keluarga mangsa.
“Pihak kami memahami sensitiviti bahawa dokumen tersebut hanya akan berada dalam kawalan peguam dan anak guam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan murid Tahun Empat itu ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan pada 2 Oktober 2025 sebelum dikejarkan untuk mendapatkan rawatan.
Hasil bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian mangsa adalah akibat tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini berkata, tiada kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa hasil pemeriksaan bedah siasat.