Pilih wakil rakyat berintegriti, bukan hanya pandai berjanji – Anwar

SEREMBAN : Rakyat diseru memilih wakil rakyat yang mempunyai maruah dan integriti, bukannya hanya bergantung kepada janji untuk menjaga kepentingan sesuatu kaum semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beekata, pengalaman dalam pentadbiran menunjukkan pembangunan yang baik bukan sekadar melibatkan peruntukan kewangan, sebaliknya perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Jelas beliau, antara contoh yang boleh dilihat adalah pengurusan sumber pasir apabila Kerajaan Negeri Sembilan mengambil pendekatan berbeza dengan memastikan hasil daripada aktiviti berkenaan kembali memberi manfaat kepada kerajaan.

“Kerajaan Negeri (lain) tengok bagaimana kita boleh belajar daripada Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun). Dulu kontrak-kontrak korek pasir kena dapat duit, dia ambil dan jual pasir. Tetapi kerajaan sekarang suruh dia korek dan bayar balik kepada kerajaan. Ini bezanya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika turun padang dan menyantuni masyarakat serta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di Medan Selera Ampangan atau dikenali sebagai Benteng @ Ampangan di sini petang tadi.

Beliau turut membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dun Ampangan, Datuk Seri Muhammad Nazri Kassim.

Menurut Anwar, pendekatan sama turut digunakan dalam pembangunan sebuah hotel besar di Port Dickson bagi memastikan nasib kira-kira 50 keluarga nelayan di kawasan berkenaan tidak terpinggir.

Jelas Pengerusi PH itu, beliau bersama Aminuddin mengadakan rundingan dengan pihak hotel bagi memastikan pembangunan tersebut turut memberi manfaat kepada komuniti nelayan.

“Kalau kita ambil wang, habislah cerita. Tetapi kita tidak ambil wang. Kita runding dengan syarikat besar dan kita kata tidak boleh sekadar membangunkan hotel.

“Perlu bangunkan perkampungan nelayan ini, bina sebuah jeti, selain menjamin bayaran pendidikan setiap pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat perlu lebih bijak membuat pilihan ketika memilih parti dan wakil rakyat, khususnya dalam menentukan masa depan sesebuah negeri.

“Jangan hanya kerana seseorang itu berjanji hendak menjaga orang Melayu, orang Cina atau orang India, akhirnya dia hanya menjaga dirinya sendiri.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan ambil keputusan yang baik. Jangan pandang ringan,”katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat pilihan yang baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat bergerak selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya minta kawan-kawan beri kerjasama sampai pilihan raya, buat pilihan yang baik dan bawa mesej yang PH buat supaya dapat selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita buat yang sebaiknya untuk rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *