KUALA PILAH: Seorang warga emas parah selepas dirempuh seorang lelaki yang menunggang di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuala Pilah- Tampin dekat simpang ke matrikulasi, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini.
“Kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal berhampiran simpang matrikulasi. Siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Selaru menghala ke Pekan Kuala Pilah.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah motosikal Modenas Kriss yang datang dari arah Kuala Pilah dikatakan membelok secara mengejut ke simpang kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang Modenas Kriss tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan motosikal Yamaha Lagenda yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini, penunggang Yamaha Lagenda seorang lelaki berumur 74 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan masih menerima rawatan di HTAN.
“Manakala penunggang Modenas Kriss, seorang lelaki berumur 53 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah selepas siasatan mendapati dia disyaki menunggang dibawah pengaruh alkohol,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) dan Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan siasatan masih berjalan.