PRN Negeri Sembilan: Pas mahu kerjasama dengan BN

SEREMBAN: Pas berhasrat untuk menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, antara tawaran Pas ialah BN kekal bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi wakil UMNO pada PRN 2022.

“Pas pula bertanding di tiga kerusi DUN dimenangi sebelum ini. Dua lagi kerusi dimiliki Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pula akan dibincang ditandingi UMNO atau Pas ikut kesesuaian.

“Sebanyak 17 kerusi DUN yang dikuasai PH (Pakatan Harapan) pula akan diagihkan antara parti-parti bekerjasama iaitu Pas, UMNO, MCA, MIC dan Gerakan ikut kewajaran,” katanya pada Majlis Makan Malam Perdana PAS Negeri Sembilan di Paroi, di sini, tengah malam tadi.

Abdul Hadi mendakwa, hasil perbincangan pakatan politik itu dengan UMNO setakat ini berjalan positif.

Beliau berkata, Pas juga akan mendukung calon UMNO untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya memenangi PRN tersebut.

“Kita terima hakikat bahawa Negeri Sembilan didominasi UMNO. Dia (UMNO) pimpin (menjadi Menteri Besar).

“Kita mahu Melayu dan Islam menguasai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan 2022, Pas berjaya menembusi tiga kerusi DUN iaitu Paroi, Serting dan Bagan Pinang manakala Bersatu pula menawan DUN Labu dan Gemas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *