SEREMBAN : Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard di Taman AST di sini pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu disedari oleh seorang pemandu e-hailing, Tong Wai Kit, 36, yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
“Saya nampak mangsa seorang lelaki yang duduk di bahagian pemandu seperti sedang tidur, ketika itu enjin kereta tidak dihidupan dan kereta tidak berkunci.
“Saya cuba goyang badan mangsa sebanyak lima kali bagi menyedarkan pemandu tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi pihak ambulans,” katanya ketika ditemui di Taman AST di sini hari ini.
Wai Kit berkata, apabila saya saya pegang tangan mangsa sudah sejuk dan mukanya pucat serta keputihan.
“Ambulans hanya tiba satu jam kemudian dna pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan memaklumkan perkara itu kepada pihak polis,” katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati Unit Forensik tiba kira-kira 10 pagi untuk menjalakan siasatan.
Difahamkan menurut sumber, mangsa seorang lelaki berusia 30-an yang beralamat di Titi, Jelebu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.