Lori melintang tengah jalan, aliran trafik Jalan Seremban-Kuala Pilah dilencong ke laluan Seri Menanti

KUALA PILAH : Kesesakan trafik hampir satu kilometer berlaku selepas sebuah lori terbabas dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kampung Gemetir, di sini petang tadi.

Kemalangan tersebut menyebabkan aliran trafik di Jalan Seremban-Kuala Pilah terpaksa dilencongkan ke laluan Seri Menanti bagi mengurangkan kesesakan berikutan keadaan lori yang melintang di tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 1 petang itu, siasatan awal mendapati lori jenis Scania yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala ke Seremban.

“Apabila tiba di lokasi kejadian ketika melalui satu selekoh, sebuah kereta yang  masih belum dikenal pasti dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan lori berkenaan.

“Pemandu lori kemudian bertindak mengelak ke kiri sebelum melanggar tembok simen dan seterusnya terbabas ke bahagian kanan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Mustafah berkata, pemandu lori yang merupakan lelaki berusia 35 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Foto : Ihsan PDRM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *