
SEREMBAN : Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Jupitri Joha dijangka akan dicalonkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.
Ketua Cabang PKR Rembau tersebut dikatakan bakal bertanding dalam salah satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi parti itu pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada tahun 2023.
Memetik Berita Harian, Jupitri yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) tersebut mengesahkan turut mendengar desas-desus tersebut namun beliau mahu menunggu pengumuman rasmi kepimpinan tertinggi PKR terlebih dahulu.
“Saya tidak melobi untuk menjadi calon (PRN) tetapi jika pimpinan (PKR) membuat keputusan untuk meletakkan saya sebagai calon PRN, saya akan akur.
“Saya akan berjuang mencapai kemenangan sekali gus mempertahankan kerajaan PH di Negeri Sembilan,” katanya di sini hari ini.
Jupitri yang merupakan calon PH bagi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu pasti akan digunakan sebaik mungkin sekiranya dicalonkan pada PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Menurutnya, beliau komited membantu jentera parti agar bergerak agresif bagi memenangi kerusi DUN yang bakal ditandingi tersebut.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 lalu, PKR memenangi lima kerusi DUN iaitu Sikamat, Ampangan, Pilah, Chuah dan Sri Tanjung.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PH negeri dilaporkan berkata, PKR akan bertanding 16 daripada 36 kerusi DUN bakal dipertandingkan.