Perebutan, ketamakan kuasa jejas kestabilan negeri- Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan bahawa ketamakan dan perebutan kuasa boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian di Negeri Sembilan.

Baginda bertitah, setiap pemimpin hendaklah melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan sentiasa meletakkan kepentingan negeri serta rakyat mengatasi segala pertimbangan lain.

“Sikap dan tindakan yang tidak berhemah atau didorong oleh kepentingan sempit seperti perebutan kuasa sama sekali tidak mencerminkan ciri kepimpinan yang bertanggungjawab,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Seri Jempol.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al-‘Abidin.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut disertai lebih 1,000 jemaah.

Tuanku Muhriz bertitah hanya melalui pentadbiran berteraskan prinsip tata kelola yang baik, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negeri dapat terus dipelihara demi diwariskan kepada generasi akan datang.

Justeru, titah baginda, semua pihak hendaklah sentiasa memelihara kestabilan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini, serta tidak membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian serta ketenteraman yang dinikmati bersama.

Mengakhiri titahnya, baginda meminta rakyat negeri ini untuk merenung, memperbaharui semangat serta meneguhkan kembali komitmen kepada  kebenaran dan keadilan.

“Adat harus terus ditongkat agar tidak rebah dan pusaka harus terus dipelihara agar tak lapuk dek hujan, tak lokang dek paneh,” titahnya.

Gambar kredit Media MB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *