Seremban: Wanita UMNO Negeri Sembilan menolak sekeras-kerasnya cubaan mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan dengan dakwaan gerakan menjatuhkan kerajaan atau usaha tebuk atap.
Ketuanya yang juga salah seorang ADUN yang didakwa terpalit , Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, sehingga kini tiada bukti kukuh yang menunjukkan mereka terbabit dalam langkah menumbangkan kerajaan negeri.
“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular kononnya terdapat ADUN UMNO Negeri Sembilan yang menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi merancang gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
“Dakwaan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan sama sekali tidak disokong oleh sebarang fakta atau bukti yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ia dilihat sebagai cubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi politik serta mengalihkan perhatian rakyat daripada krisis institusi, adat dan perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan ketika ini.
Tambah beliau, lebih membimbangkan, dakwaan itu kini cuba diperkuatkan dengan penyebaran pelbagai cerita dan dokumen yang kononnya membuktikan wujudnya komplot politik membabitkan ADUN UMNO Negeri Sembilan.
“Namun sehingga hari ini, tiada sebarang bukti yang sah, jelas dan boleh disahkan pernah dikemukakan kepada rakyat bagi menyokong tuduhan itu.
“Tuduhan seperti ini (tebuk atap) bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan usaha terancang untuk membina persepsi politik tanpa sebarang asas yang kukuh.
“Jika benar terdapat perjumpaan atau komplot seperti yang didakwa, kemukakan bukti kepada rakyat.
“Jika tiada bukti, hentikan segera budaya politik fitnah, spekulasi dan penyebaran maklumat palsu yang hanya mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi,” katanya.
Tambah Bibi Sharliza, apa yang lebih membimbangkan ialah ketika rakyat sedang menuntut penjelasan dan penyelesaian terhadap isu sebenar yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri, masih ada pihak yang memilih untuk bermain dengan naratif politik bagi menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.
“Politik yang matang seharusnya berteraskan fakta dan kebenaran, bukannya khabar angin yang sengaja direka untuk mengelirukan rakyat.
“Rakyat Negeri Sembilan hari ini mahukan jawapan terhadap isu sebenar yang sedang berlaku.
“Mereka mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani menyelesaikan masalah, bukannya terus menuding jari serta mencipta musuh politik khayalan bagi menutup kegagalan pentadbiran,” katanya.
Justeru katanya, Wanita UMNO Negeri Sembilan berpendirian bahawa rakyat berhak mendapat fakta, bukannya persepsi.
“Negeri Sembilan memerlukan penyelesaian, bukannya spekulasi. Negeri ini memerlukan kepimpinan yang fokus kepada kestabilan, keharmonian institusi dan kesejahteraan rakyat, bukannya terus dibelenggu dengan permainan politik yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa.
“Jangan cuba mencipta naratif kononnya wujud gerakan ‘tebuk atap’, komplot politik atau perancangan menjatuhkan kerajaan semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang sedang dipersoalkan rakyat,” katanya.