SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan akan mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Negeri Sembilan pada 2023.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, pada PRN kali ini juga Pakatan Harapan (PH) mensasarkan sekurang-kurangnya menang di 20 kerusi berdasarkan rekod pada PRN14 pada 2018.
“Hari ini kita mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa DAP Negeri Sembilan untuk membincangkan persiapan menjelang PRN di Negeri Sembilan.
“Misi kita mempertahankan 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan dan keduanya, sudah tentu kita akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan kita dalam PH untuk memenangi kerusi-kerusi lain.
“Kita menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi di Negeri Sembilan. Kerana rekod kita pernah memenangi 20 kerusi pada tahun 2018,” katanya, hari ini.

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, dia turut akan bertanding dan mempertahankan kerusi DUN Chennah yang dimenangi selama tiga penggal berturut-turut.
Jelas beliau, pihaknya sudah melakukan persiapan awal kerana memenjangkakan PRN Negeri Sembilan akan diadakan secara serentak dengan PRN Johor pada Julai depan.
“Kita tahu bahawa DUN dibubarkan pada Jumaat lepas dan kita menunggu pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hujung minggu ini berkenaan dengan tarikh penting pilihan raya termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.
“Kita menjangkakan bahawa pengundian untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara serentak, mungkin diadakan pada bulan Julai nanti.
“DAP Negeri Sembilan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini. Walaupun ini satu pilihan raya mengejut, ia bukannya satu pilihan kepada kita, tetapi saya rasa PH mengambil satu keputusan… kita terpaksa mengadakan pilihan raya ini untuk kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.
Jelasnya, DUN perlu dibubar dan memberi laluan kepada PRN akibat konflik yang berlaku di Negeri Sembilan susulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional yang sebelum ini membentuk kerajaan Perpaduan menarik sokongan kepada Menteri Besar.
“Walaupun ada persefahaman di peringkat pusat, antara BN dan PH bahawa ADUN BN akan tetap akan menyokong kerajaan dan meluluskan bajet untuk tahun depan, PH merasakan bahawa ini satu risiko yang terlalu besar untuk diambil .
“Sebaik-baiknya kita mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mengadakan pilihanraya memutuskan parti mana yang mempunyai majoriti untuk mentadbir negeri tersebut.
Jelas beliau, risiko yang yang perlu diambil adalah sidang dewan yang bakal diadakan pada Oktober depan perlu meluluskan bajet kerajaan negeri bagi tahun hadapan.
“Sekiranya kita tidak dapat meluluskan bajet untuk tahun depan, maka dewan terpaksa dibubarkan juga. Pilihan raya perlu diadakan kerana kerajaan akan hilang majoriti dan kerajaan tak boleh berfungsi tanpa bajet yang diluluskan dalam DUN.
“Jadi, mengambil kira pertimbangan-pertimbangan itu, PH membuat keputusan untuk membubarkan dewan dan DAP Negeri Sembilan menyambut baik dan kita bersedia untuk menggalas tanggungjawab untuk bertanding,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau membuat keputusan untuk mengetuai kempen PRN kali ini dengan bertanding selepas mendapat sokongan daripada parti dan jawatankuasa DAP negeri.
“Saya tetap akan bertanding dalam PRN kali ini. Selain itu, rasanya segala persiapan sudah kita mulakan melalui mesyuarat pada pagi ini.
“Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin diamanahkan sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk PRN kali ini. beliau akan mengarahkan kempen Pilihan Raya bagi pihak DAP Negeri Sembilan dan menyelaras kan kempen dengan rakan-rakan parti komponen PH,” katanya.
#prnnegerisembilan #anthonyloke #bubardun