SEREMBAN : Kedudukan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dinyatakan telah dimaklumkan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri kepada Majlis Raja-Raja.
Menurut kenyataan bersama Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai dan Tunku Besar Tampin, pemakluman itu bermakna Tuanku Nadzaruddin mempunyai kuasa sah untuk menjalankan segala fungsi Yang di-Pertuan Besar menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), termasuk menghadiri segala persidangan Majlis Raja-Raja.
Kenyataan bersama itu dinyatakan oleh Datuk Mubarak Dohak, Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.
Mubarak yang membacakan kenyataan itu berkata, pemakluman rasmi berkenaan penurunan takhta Tunku Muhriz Tuanku Munawir dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, mereka menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah patuh dan taat serta tidak membuat sebarang tindakan yang dianggap derhaka terhadap Raja Pemerintah.
Mereka turut meminta pentadbiran negeri memberikan serta-merta segala keistimewaan, pemakaian dan pemakanan yang termaktub kepada Tuanku Nadzaruddin.
“Pentadbiran Kerajaan Negeri juga hendaklah serta-merta memberikan segala keistimewaan, pemakaian dan pemakanan yang termaktub kepada Tuanku Nadzaruddin,” katanya.
Menurut mereka, kedudukan tersebut susulan pemakluman rasmi berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz serta pemilihan Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.
Mereka mendakwa penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibuat pada 19 April 2026 mengikut Perkara 10(1) dan (2) UUTKNS 1959.
Menurut mereka, proklamasi berkenaan kemudiannya disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu.
“Proklamasi penurunan takhta tersebut adalah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 tanpa memerlukan pewartaan,” katanya.
Sehubungan itu, mereka menasihatkan Tuanku Muhriz supaya bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa baginda telah diturunkan daripada takhta sebelum berundur secara terhormat.
“Kami juga menasihatkan Tunku Muhriz agar bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa beliau telah diturunkan takhta maka berundurlah secara terhormat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, mereka menolak dakwaan bahawa penurunan Tuanku Muhriz dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Mereka menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai ‘fitnah jahat’ yang didakwa dirancang oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan peribadi serta mendakwa kumpulan itu menjadi punca kepada krisis yang berpanjangan.
Menurut mereka, Ismail dan barisan Exco tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya hanya melaksanakan tanggungjawab perlembagaan bagi mematuhi keputusan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.
Mereka turut berkata, tindakan itu bagi memelihara kedudukan mereka sebagai Raja Pemerintah negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 28 UUTKNS 1959.
Kami mengecam sekeras-kerasnya setiap usaha pihak tertentu yang terang-terangan mahupun berselindung cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan kami di negeri ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, mereka mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Negeri Sembilan, khususnya perkara berkaitan hak keistimewaan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959.
“Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurani, malah tidak segan silu melanggar prinsip keluhuran perlembagaan.
“Janganlah bertindak lebih sudu daripada kuah dan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, jangan menimbulkan hura-hara di dalam negeri kami melalui Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan lumpuhnya pentadbiran eksekutif Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut mereka, tiada mana-mana parti politik mempunyai kuasa untuk menurunkan seseorang Raja kerana kuasa berkenaan, menurut mereka, terletak pada Undang Yang Empat dalam sistem adat Negeri Sembilan.
“Adat ini telah diamalkan lebih 500 tahun dan kami sebagai Raja dan Pembesar Adat lebih memahami apa yang telah berlaku,” katanya.