SEREMBAN: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menghasut melibatkan isu Istana Negeri Sembilan pada tiga bulan lalu.
Tertuduh, Rais, 84, yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Berdasarkan pertuduhan, Rais didakwa
menyebut perkataan menghasut membabitkan isu Istana Negeri Sembilan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Parkroyal A’ Farmosa Melaka Resort, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pada pukul 1 tengah hari, 5 Jun lalu.
Beliau didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Rais yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober depan. Pendakwaan dikendalikan tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.
Rais pula diwakili lima peguam diketuai anaknya, Danni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.