SEREMBAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr. Awaludin Said menyangkal dakwaan kononnya menerima usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Menurutnya, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang notis undi tidak percaya tersebut untuk dibawa ke dalam Persidangan DUN Negeri Sembilan.
“Saya menafikan apa-apa yang tersebar di media sosial berhubung terdapat cadangan (undi tidak percaya) seperti itu untuk dibawa pada Sidang DUN akan datang.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa (notis undi tidak percaya terhadap Menteri Besar),” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, timbul desas-desus kononnya Ismail bakal berhadapan usul undi tidak percaya sebagai Menteri Besar pada Persidangan DUN Negeri Sembilan akan datang.
Sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan kononnya hilang kepercayaan terhadap Ismail setelah wakil rakyat Juasseh itu didakwa menandatangani proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.
Dalam perkembangan sama, Awaludin menegaskan sebarang isu yang masih belum diputuskan pihak berwajub termasuk membabitkan institusi adat tidak akan dibenarkan dibawa ke dalam Sidang DUN Negeri Sembilan sewenang-wenangnya.