TAMPIN: Seorang lelaki menemui ajal ketika mengendalikan jentera ‘compactor roller’ jalan dalam kebun Kampung Anak Ayer Durian Daun, Kampung Pondoi, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang menjalankan kerja penyelenggaran di kawasan berkenaan.
“Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan iaitu ‘compactor roller’ warna merah di jalan dalam kebun Kampung Anak Ayer Durian Daun.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila jentera jenis Bomag Ltd yang dipandu seorang lelaki tempatan umur 45 tahun sedang menjalankan kerja penyelanggaraan jalan pertanian di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amiruddien berkata, ketika sedang mengundur, pemandu compactor roller itu dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terjatuh menggelongsor ke dalam semak.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu compactor roller itu parah dan dibawa ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan awal tetapi disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 3 petang.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik
Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sritharan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan
siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Gambar ihsan Polis