SEREMBAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu
menggantikan Anthony Loke yang meletakkan jawatan berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Arul Kumar yang juga Naib Pengerusi DAP negeri merupakan satu-satu calon dicadang Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Anthony.
Sementara itu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP menaruh keyakinan terhadap Arul Kumar untuk mengembalikan kegemilangan DAP di Negeri Sembilan.
“Saya sebagai Setiausaha Agung DAP akan beri sokongan kepada pimpinan baharu di bawah Arul.
“Arul mampu memikul tanggungjawab membawa DAP Negeri Sembilan ke era yang lebih cemerlang,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Anthony yang memimpin DAP Negeri Sembilan selama 22 tahun lalu meletakkan jawatan selepas menjadi salah seorang daripada dua calon parti itu yang tewas pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Menteri Pengangkutan itu tewas mengejut di tangan Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 di DUN Chennah.