SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan bersidang buat pertama kalinya untuk penggal ke-16 pada Selasa minggu depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lazim berkata, persidangan DUN Negeri Sembilan khas tersebut akan berlangsung sehari sahaja pada 18 Ogos ini.
“Semua 36 ahli dewan undangan negeri (ADUN) akan mengangkat sumpah pada persidangan tersebut.
“Begitu juga dengan pelantikan Yang Dipertua DUN yang baharu,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Exco yang pertama di sini hari ini.
Ismail memberi jaminan Sidang DUN tersebut akan dilaksanakan secara teratur dan lancar selaras peruntukan undang-undang serta tatacara DUN.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu, 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN) menbentuk kerajaan.
Seramai 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) terdiri sembilan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menjadi pembangkang.
Difahamkan wakil BN dan PN masing-masing akan dilantik menjadi Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua DUN yang baharu.
Sebelum ini, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada penggal lalu ialah Datuk M.K. Ibrahim Abd. Rahman yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan.