PRNN9: Prestasi PKR merosot, Tok Min terima tamparan hebat

SEREMBAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertaruhkan 15 calon di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) menunjukkan prestasi merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Daripada 15 calon yang disenaraikan, PKR hanya menang di dua kerusi di Sri Tanjung menerusi Datuk Dr G Rajasekaran dan di Dewan Undangan (DUN) Chuah yang ditandingi Datuk Yew Boon Lye.

Berbanding pada PRN Negeri Ke-15 pada 2023, PKR menang di lima kerusi iaitu di Sikamat, Ampangan, Pilah, Chuah dan Sri Tanjung.

Paling menerima tamparan adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang bukan sahaja kehilangan kerusi keramatnya di Sikamat, malah gagal meraih kemenangan di Linggi.

Kerusi Sikamat yang ditandingi, Nor Azman Mohamad, Setiausaha Politik kepada Aminuddin menyaksikan ia dirampas calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah.

Kerusi lain yang ditandingi PKR adalah di Pertang, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Sikamat, Ampangan, Juasseh, Seri Menanti, Pilah, Rantau, Kota, Chuah, Linggi, Sri Tanjung dan Gemas

Selain Sikamat, PKR kehilangan kerusi Ampangan dan Pilah yang dimenangi dua calon wanita yang juga exco kerajaan negeri pada penggal lalu.

Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan BN menang 18 kerusi, PH 11 kerusi manakala PN menang di tujuh kerusi.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA); Parti Orang Asli Malaysia (ASLI); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan empat calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *