#PRNN9 DAP besar kepala – KJ

SEREMBAN: DAP dilihat sudah ‘besar kepala’ selepas sudah memegang kuasa di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui perkara itu pernah berlaku dalam UMNO suatu ketika dahulu sebelum kejatuhan mereka bermula 2008 yang dianggap sebagai hikmah.

“Tapi sekarang ini, ini orang sudah lama sangat pegang kuasa, dia sudah besar kepala. Apabila mereka besar kepala, bila dia dah jadi angkuh, dia sombong.

“Dulu tak apa, dulu okay DAP rakyat, wakil rakyat untuk rakyat biasa. Tetapi bila dah dapat jawatan, bila dah dapat menteri, bila dah dapat EXCO Kerajaan Negeri, mereka jadi besar kepala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lepak Bersama KJ di Temiang, di Restoran Maulana, Taman Pulai Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Khairy berkata, jika persefahaman itu menunjukkan perkembangan positif, ia mungkin akan diperluaskan ke negeri lain.

“Banyak kali dah Zahid cakap, Tok Mat cakap, ini kerjasama untuk Negeri Sembilan. Kalau berjaya di Negeri Sembilan, boleh kita bincang untuk negeri-negeri lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, DAP membawa propaganda menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan gelombang hijau atau green wave.

“Saya nak cerita sikit berkaitan dengan nak menakutkan terutamanya pengundi bukan Melayu. Cina dan India yang kata ini kerjasama dengan UMNO-PAS adalah sesuatu yang bahaya.

“Ini bukan kerjasama UMNO dengan PAS. Ini kerjasama BN dengan PN. BN ini UMNO ada, MCA ada, MIC ada, PPP ada, KIMA ada. PN ada PAS, ada Wawasan, ada Gerakan, ada MIPP.

“Jadi jangan kita anggap bahawa ini adalah satu ‘Melayu’ ataupun dia panggil sebagai green wave. Ini tak betul,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *